‘Takpe.. mak akan datang esok ambil result’ jawapan murid ini buat seorang ibu mengalirkan air mata

Assalamualaikum. Tak tahu nak mula ayat macam mana tapi saya nak jugak berkongsi cerita.

Seawal pagi saya bersiap ke tempat kerja,mengenangkan berkali-kali pesanan anak ke-2 saya agar tidak lupa ke sekolah untuk ada bersamanya  menerima keputusan UPSR, saya akur.

Terbayang-bayang akan post-post yang sering dikongsi di laman sosial amanah para ilmuwan, saranan kepada ibu ayah,agar memeluk anak-anak walau apapun  keputusan yang anak peroleh dan saya berkali-kali mengingatkan diri sendiri agar tidak lupa melakukan itu.

Dari jauh jelas kelihatan anak saya duduk di kerusi bersama teman-temannya menggosok kedua tapak tangannya berkali-kali lalu menyapu muka, diulang  perbuatan sama beberapa kali, mungkin ketakutan.

Dia menoleh mencari saya agaknya, saya melambai tangannya menunjukkan isyarat bahawa ‘yes’ mama datang,saya tersenyum lucu.

Saat satu persatu nama dipanggil ke atas pentas sekolah, menerima slip keputusan masing-masing ada drama suka dan duka,itu mungkin  permandangan biasa bagi orang macam saya,namun bila mana nama anak saya disebut, hati saya berdebar-debar pula, dari jauh saya lihat anak saya menerima slip keputusannya sambil mata menjeling sejenak,wajah yang redup sedari semalam semakin suram merenung lantai,langkahnya perlahan.

Sekeping kertas dihulur, ok saya hanya tersenyum dan ucap tahniah sambil merangkul bahunya (reaksi yang terbawa-bawa di facebook, dalam hati ini hanya Allah saja yang tahu ) tapi bukan itu yang hendak saya kongsikan di sini .

Usai majlis penyerahan masing-masing berswafoto kenangan sebelum meninggalkan sekolah rendah tak kurang waris merakam kenangan gelagat anak masing-masing.

Guru merakam ucapan tahniah dan kata-kata semangat.

Saya..? ( Ah..tidak gemar merakam, berswafoto atau apa-apa yang berkaitan).

Saya berjalan pulang, ingin segera kembali ke tempat kerja tapi anak meminta izin untuk pulang bersama-sama  saya anggukkan saja sambil menjeling angka jam di tangan, saya melangkah mendahuluinya.

Beberapa langkah diatur, mata saya menangkap satu sosok melintas di hadapan sambil menangis teresak-esak, matanya merah berkaca,tubuh itu mengambil tempat di satu sudut ruang kosong di dalam kelas, menarik kerusi dan duduk sambil menundukan kepalanya di lengan dan sekali lagi jelas kedengaran dia menangis (dalam hati saya bersangka  ah.. mungkin sedih tidak lulus agaknya dia ).

Saya ingin cepat,maka saya rasakan biarlah dia itu melepaskan rasa yg membelenggu dengan caranya sendiri, bukan urusan saya pun untuk ambil tahu.

Tiba-tiba saya disapa seorang guru bertanyakan keputusan anak saya peroleh dan saya sekadar menjawab “boleh la.. ” sekadar senyum.

Langkah diatur lagi namun kali ini anak saya memanggil dari belakang minta tunggu sebentar gurunya ingin melihat slip keputusannya dan saya akur lagi.

(Dalam hati.. apa yang cikgu tu nak tengok lg? keputusannya biasa-biasa saja kot ).

Sedang saya berdiri di satu laluan di kaki lima sosok tubuh yang saya lihat tadi muncul lagi dia melintas di hadapan, saya dapat lihat dia sedang  merenung kawan-kawan dari jauh sambil tangan mengesat mata dan jelas air mata mengalir.

Tanpa sedar anak saya muncul, mungkin dapat dibaca apa yang saya sedang fikirkan.

“Kesian dia mama, tak dapat ambil keputusan sebab tak bayar yuran.”

Saat mendengar itu entah apa yang saya rasa, keliru.. mana mungkin anak itu dinafikan haknya  hanya kerana masalah orang dewasa.

Sebentar tadi saya berasa lega dengan arahan tidak ada majlis untuk meraikan dan pengumuman murid cemerlang di hadapan semua murid lain kerana tidak mahu ada rasa kecewa di hati ini, tapi pada waktu yang sama di hadapan saya ada seorang murid yang langsung tidak dipanggil namanya naik ke pentas walau hanya sekadar menerima se “SALINAN” keputusan untuk dibawa pulang bagi tatapan ibunya.

“Mama.. Amir nak tolong dia, tapi tak tau nak buat apa ? Kesian dia mama, kesian dia”.

Aduh anak oi…mama pun dah cukup gawat ni, mana nak kisah hal anak orang lain pulak lagi. Tapi malu kat anak pulak kalau tak cuba buat sesuatu.

Saya langsung menghampiri anak itu bila mana dia kembali duduk di dalam kelas kosong itu.

Saat bahunya dipegang dia menoleh dengan satu  pandangan yang sukar untuk saya terjemahkan dengan perkataan, hanya Allah saja yang tahu betapa naluri seorang mak-mak ini memahami gelodak hatinya, remuk jiwanya, celaru mindanya.

“Kenapa menangis? Boleh mak cik tolong? “

Dia sekadar menggeleng.

“Dah dapat tahu keputusan? “

 Dia menggeleng lagi.

“Jom kita pi ambik keputusan.”

Saya cuba menarik tangannya tapi dia menolak dengan baik.

“Tak pa mak cik esok mak saya mai ambik.”

Anak itu bersuara perlahan dan sayu.

“Jom ikut mak cik jumpa cikgu.” (Sebenarnya saya dah tak tau nak cakap apa lagi.)

Dia geleng lagi.

 “Saya tak bayar yuran lagi .”

Anak itu bersuara dalam esak, air matanya laju ketika menyebut perkataan(tak bayar yuran) itu.

Sungguh hati saya sebak melihatnya begitu.

“Tak apa, mak cik bayarkan,jom kita pi ambik sekarang. “

Ini memang betul-betul gila, entah dari mana datangnya kekuatan itu sedangkan dalam poket hanya  ada RM10 saja (dalam hati mana nak cari duit ni.)

“Tak pa la makcik.. banyak” dia menolak lagi.”

“Mama ada duit  200 lebih dak?”

Anak saya entah muncul dari mana.

Saya menarik tangan anak saya dengan isyarat kita sembang kat luar, nanti budak tu dengar.

“200 lebih ?”

Saya menelan liur.

“Ha.. yuran dia RM249, Amir pi tanya dah .”

Dia merenung saya minta ihsan, matanya penuh harapan “tolong la ma.. nanti amir bayar balik.” (Dia mempertaruhkan sesuatu yang mungkin mustahil bagi umurnya untuk bayaran balik.).

Tangannya menghulur sekeping wang kertas mungkin kecil nilainya di luar sana.

“Mana dapat duit? “.

“Cikgu bagi sebab Sains dapat elok.”

Mulianya hatimu cikgu.

Kali ini saya pulak yang panik, bagi saya, ibu kepada anak-anak yang masih kecil,  jumlah itu agak banyak dan sukar untuk dicari dengan kadar segera.

Saya buntu seketika,tapi anak ini tidak boleh dibiar pulang hampa.

Saya masuk ke kelas semula, Allah.. anak itu sudah tiada.

Saya fikir dia mendengar perbualan kami, mungkin juga tidak mahu menyusahkan orang lalu dia pergi.

“Mana dia, mana dia?,cari cepat.”

Saya menjerit pada anak saya.

Saya lihat anak saya berlari entah ke mana.

Seketika kemudian anak saya muncul dengan seseorang dibelakangnya.

Saya menghela nafas lega.

Benarlah  Allah itu maha pengasih lagi penyayang di saat kita ingin membantu Allah jua sedang membantu.

Dengan bantuan seorang rakan, saya dapat jelaskan bayaran tertunggak anak tersebut dan.. ya anak sayalah yang bersungguh-sungguh bantu menguruskan hal-hal seterusnya.

Saya sekadar memandang dari jauh anak tadi menerima slip keputusannya beserta sijil berkaitan.

Saat dia memegang slip itu saya telah hilang kawalan air mata, mencurah-curah tanpa berselindung lagi.

Anak tadi menghampiri saya, menghulur salam dan mengucapkan terima kasih,tangannya menghulur slip keputusannya kepada saya entah mengapa dia berbuat demikian.

Saya sambut sekeping kertas itu dan saya lipat.

“balik tunjuk kat mak,jadi anak yang baik, usaha bersungguh-sungguh.”

Hati ini ingin sangat melihat apa keputusannya, tapi biarlah penghormatan itu diberikan kepada ibunya.  

Kalau dirakam percakapan kami mungkin orang tak akan faham, kerana saya bercakap dalam nada sendu, buruk bebenar dan aneh bunyinya, tapi anak itu seolah-olah mengerti pula.

Hanya sebentar tadi, sekadar permainan psikologi saya  mengucapkan tahniah kepada anak saya atas pencapaian UPSRnya  tapi saat dia mempamerkan ihsan kepada rakan sebayanya  saya jadi kagum dan bersyukur kerana nilai ihsan yang dimiliki mengatasi nilai gred yang diperolehnya.

Tahniah anakku.

Juga sebentar tadi saya sekadar merangkul bahunya mengucap tahniah, kini ingin sekali saya memeluknya sepenuh hati menyatakan rasa syukur dan terima kasih kerana menyedarkan saya setiap anak ada istimewanya dan nilai yang  tersendiri.

Tidaklah saya bercerita untuk bangga diri  semata ,tidak juga menonjolkan diri sebagai wira, saya manusia biasa yang masih berusaha melakukan tiga hingga empat kerja sehari, siang malam hanya untuk keluarga saya, saya tidak peduli urusan orang lain dan orang sekeliling, saya merasakan kehidupan saya sudah cukup2 sukar, tapi Allah telah perlihatkan masih ada yang lebih sukar.

Syukur saya banyak dibantu keluarga.

Hari ini anak kecil ini menjadi teguran buat saya, sebelumnya saya bekerja, berniaga sekadar niat hanya untuk keluarga semata, kini saya akan betulkan kebiasaan itu, pada rezeki saya  mungkin ada bahagian orang lain, pada duit saya  mungkin ada nama orang lain, pada harta saya mungkin ada hak orang lain.

Saya menunggu ada untuk memberi sehingga saya lupa kepada yang Maha Kuasa Memberi.

Saya  mempersiapkan anak sedaya mungkin, namun masih ada anak-anak di luar sana yang tercicir.

Janganlah dikecam anak ini, keluarganya, gurunya mahupun sekolahnya, saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya masalah mereka hingga hal ini berlaku, biarlah kita menjadi sebahagian warga yang membantu tanpa syarat.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa tidak anak itu saya ikut pulang untuk melihat keadaan rumahnya dan keluarganya mungkin masih ada yang  perlu dibantu.

Jujurnya saya baru terfikir akannya setelah sampai di tempat kerja dan dalam tempoh itu saya hanya bermain emosi yang tak keruan hingga gagal berfikir dan bertindak ke arah itu.

Terima kasih tak terhingga  kepada guru yang mendidik anak saya dan anak itu hingga menjadi seorang insan.

Saya hanyalah seorang ibu kepada lapan orang anak  yang sibuk berusaha bekerja mencari rezeki, saya percaya sedikit sebanyak nilai murni itu datangnya daripada pendidikan di sekolah.

Apa yang saya kongsikan sekadar hanya untuk peringatan diri sendiri agar lebih mengambil peduli akan warga sekeliling, saya tidak kaya harta,  saya juga dibantu untuk membantu.

Mohon didoakan agar kita semua dimurahkan rezeki agar dapat bantu membantu sesama kita tanpa perlu menunggu para “Gergasi” mainkan peranan.

#Sesungguhnya Allah maha pengasih lagi maha penyayang ketika menulis entri ini saya menerima perkhabaran dua anak saya melepasi ujian kelayakan yang sukar dan telah diterima masuk ke sebuah maahad setelah hampir dua tahun mencuba.

Syukur padamu ya Allah, sedikit yang diberi dibayar berganda.

Alhamdulillah.

Penilaian saya pada kehidupan kini berbeza. Pengajaran yang saya dapat sangat beharga.

Hingga saat ini, bila ditatap gambar ini, air mata saya mengalir lagi. Sungguh saya terkesan.  

Sekian sekadar coretan.

Terima kasih kerana sudi membaca.

Sumber : Sinar Harian 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *