Admin Sosial Media Kena Denda RM2000

BAHAU: Seorang pentadbir laman Facebook didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mengeluarkan komen palsu berkaitan satu sekatan jalan raya oleh polis trafik, dua bulan lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, membuat keputusan itu terhadap Muhammad Naim Zelkifle, 20, selepas tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia yang bekerja sebagai pembantu jualan, didakwa memulakan penghantaran komen palsu terhadap sepasukan anggota trafik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di laman Facebook dikendalikannya.

Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 3, Jalan Bahau-Kemayan, dekat sini, pada 6 September lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, yang baru selesai menjalankan operasi sekatan jalan raya, terbaca kenyataan tertuduh di laman Facebook pada 6 September lalu.

Tuduhan itu yang disertakan dengan dua gambar sepasukan anggota trafik melakukan sekatan jalan raya, dianggap menjatuhkan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan BSPT IPD Jempol, menyebabkan pegawai terbabit membuat laporan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *